Saturday, June 25, 2016

Yakin

Salam. Lama aku tak menulis. Sibuk mengurus kehidupan. Namun insyaallah setiap respon dan mesej aku balas dengan kesempatan yang ada.

Inshaallah Isnin ni aku dan abang akan bertemu hepato dan harapnya tidak sia- sia harapan kami untuk masuk dalam program DNDI yang memilih 400 orang pesakit hepc untuk diberikan rawatan sofusbuvir percuma.

Akhir- akhir ini ujian sedikit berat. Tentang family, dan kehidupan kami. Tidak mudah untuk abang berhadapan dengan masyarakat tanpa sokongan. Abang dah biasa dengan komuniti kecil bekas pemgguna dadah. Jadi apabila berkahwin dengan aku, abang keluar kedunia realiti masyarakat yang kadangkala kejam. Apatah lagi abang sedaya upaya menjaga supaya tidak ada yang mengesyaki atau mengetahui dia adalah bekas pengguna dadah. Keluarga,jiran-jiran tidak perlu tahu, kerana kami tak mahu tekanan yang tidak perlu.

Dan aku juga terpaksa menyembunyikan perkara ini dari keluarga, rakan sekerja dan juga rakan- rakan lain. Oleh kerana aku berkecimpung dalam dunia komuniti hiv ada rakan yang meneka- neka siapa sebenarnya abang. Aku terpaksa menafikan semuanya, atas permintaan abang juga.
Abang risau akan perkara yang mungkin berlaku sekiranya keluarga atau rakan aku tahu tentang identiti abang. Kata abang,selagi tidak perlu, tidak perlulah untuk diketahui. Kami hanya mendedahkan identiti kami secara tertutup kepada yang perlu.

Ibu,satu-satunya ahli keluargaku yang tahu tentang abang,telah pun ke pangkuan Illahi.
Aku pernah melihat abang hampir menitis air mata kerana gembira bertemu rakan-rakannya di Pengasih,betapa disitu dia tidak perlu berpura-pura yang dia adalah bukan bekas penagih dadah dan bukan plhiv. Kerana kami hidup dengan masyarakat yang penuh stigma,ujian ini kadangkala terasa juga dihati.

Mahu tidak mahu abang kena kuat untuk cekalkan hati menghadapi masyarakat.
Sedangkan dalam rumahtangga kami,kami amat bahagia dan saling memahami.
Moga Allah bagi kekuatan buat semua kita. Dan yakinlah tidak akan Allah uji melainkan kita mampu.

Yakin.