Monday, June 22, 2015

Ali setan 30 tahun dan ramadhan kami


Ulang tahun Filem Ali Setan buat aku teruja, puas aku bercerita dengan suami tentang cerita ini, mulanya dia endah tak endah. Dan aku hairan, takkan ada orang kat Mlaysia ni yang hidup tahun 80 an dulu tak tahu tentang cerita ni.

aku: Abang takkanlah tak tahu cerita ni?
Dia: tahun tu abang tingkatan 5, di sekolah budak nakal.

Ouch..

Ya, tahun itu kali pertama dia ditangkap akibat dadah. Detik permulaan yang menjadi rentetan hidup gelap dia. Seawal itu.

Malam itu, aku mengajak dia menonton filem itu di Youtube. Dia juga teruja.

Dia pernah berkata dengan aku, dunia penagih dadah ini, mereka seolah-olah terhenti dalam satu zaman. Jika mereka menagih selama 20 tahun, 20 tahun lah mereka hilang. Dan bila dalam kepulihan, merka baru seolah-olah tersedar, dan waktu itu mereka terpaksa dan dipaksa menerima siapa diri mereka.

Ibarat, dalam satu perlumbaan, wisel pemula telah dibunyikan, tapi mereka tidak berlari, mereka masih di garisan permulaan. Bila mereka sedar, perlumbaan telah pun lama tamat, rumput-rumput dipadang telah meninggi, merekalah yang terpinga-pinga mencari jalan.

Dia sangat gemar bersukan waktu sekolah, dan membantu sekolahnya menjadi juara daerah dalam Bola baling. Dia masih ingat, detik namanya dipanggil di perhimpunan sekolah, bagi meraikan kemenangan, sedang dia diluar pagar sekolah dalam keadaan gian. Itulah detik pertama dia mula tahu, dia akan jadi hamba dadah.

Merenung dia, aku jadi faham tentang masa dan kehidupan. Dan dia sangat membahagiakan aku. Bulan puasa ni, dialah yang paling rajin sediakan juadah berbuka dan sahur. Tidak mudah mendapat suami sebegini. 

Disebabkan rawatan ubat HAART, keadaan dia yang baru berhenti merokok, dan juga akhir-akhir ni dia kerap lesu kerana HCV(Hep C), cd4 dia juga jatuh sedikit sejak berkahwin, kami dah berbincang untuk sekadar dia membayar fidyah. Itu lebih mudah pada dia.

Dan, hidup aku dan dia sangat bahagia, terutama ramadhan, terawih bersama, atau kadangkala berimamkan dia dirumah, sangat indah. Ini tahun kedua ramadhan kami. Aku tahu semua didunia ini sementara. Dan kebahagiaan dengan dia setahun dua ini sangat aku syukuri.

Papa, I love you :)

note: kami sedang mengumpul pengalaman rakan-rakan komuniti tentang proses perkahwinan mereka, memandangkan ini antara isu utama yang sering menjadi kerisauan rakan-rakan yang baru diagnosed terutamanya.

NH
Boleh hubungi aku melalui borang hubungi kami,perlu view page as website jika menggunakan paparan mobile

1 comment: